Tuesday, January 18, 2011

Gaji Gaji Gaji.....

Lifeboat
Fri | Nov 23, 07 | 10:29:32 am MYT

Bagi kerani bank di Republik Singapura (gaji permulaan SGD1300-1600 bersamaan RM3000-RM3700 sebulan), bonus tahunan sebanyak tiga bulan setahun adalah perkara biasa. Menurut Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE), J. Solomon, gaji permulaan bagi kerani bank dan pekerja bukan perkeranian di Malaysia hanyalah RM662-RM1254 sebulan.

Namun jika anda pernah membaca buku tulisan mantan Perdana Menteri Singapura, The Singapore Story: Memoirs of Lee Kuan Yew (680 muka surat) dan From Third World To First: The Singapore Story (778 muka surat), anda tidak akan mendapati sebarang kempen atau kenyataan retorik politik mengenai pembangunan modal insan.

Di samping itu tidak apa juga apa-apa kenyataan bagi mengiklankan bahawa kerajaan People Action Parti (PAP) yang menguasai Singapura sejak tahun 1959 lagi kononnya tahu bagaimana hendak memajukan ekonomi dan begitu perihatin dengan keadaan rakyatnya semata-mata bagi memperolehi keyakinan rakyat atau mengaburi kepercayaan rakyat demi mengekalkan kuasa.

Apa yang dilakukan oleh pemimpin PAP adalah apa yang patut dilakukan oleh mereka sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab terhadap rakyat dan negara. Dan mereka menjalankan kewajipan ini dengan penuh keinsafan, kesedaran, rasa tanggunjawab yang begitu tinggi, tanpa rasuah dan mengamalkan meritokrasi yang boleh dimaksudkan hanya jauhari mengenal manikam atau boleh difahamkan sebagai satu adaptasi daripada sabda Rasulullah s.a.w., Apabila sesuatu tugas diberikan kepada bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya.

Dan jika anda mengabaikan perihal politik serantau antara republik tersebut dengan Malaysia, kenyataan yang anda rasa berat sebelah, soal politik perkauman dan sebagainya, tetapi sebaliknya menumpukan fokus anda kepada pembangunan ekonomi dan hal-hal bersangkutan dengan pembangunan ekonomi dengan fikiran rasional dan terbuka, anda akan dapati Singapura telah mencapai taraf negara maju ketika Malaysia baru memperkenalkan Wawasan 2020.

Wawasan 2020 adalah idea Tun Dr. Mahathir. Dalam masa 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri, Dr. Mahathir mahu membangunkan ekonomi Malaysia sebagaimana Singapura, Korea Selatan dan Jepun memajukan ekonomi masing-masing dalam tempoh masa yang begitu singkat. Justeru Dasar Pandang Ke Timur digubal bagi menukar orientasi pemikiran kita terhadap budaya kerja demi mempertingkatkan produktiviti.

Juga pada ketika itu, Jepun telah pun berjaya muncul sebagai sebuah kuasa ekonomi dunia dan menjadi pemimpin kepada hampir semua industri. Dr. Mahathir mengusulkan agar menteri-menteri dan rakyat membaca buku The Mind of the Strategist karangan Dr. Kenichi Ohmae, rakan niaga kanan dalam McKinsey & Company, Tokyo (sebuah syarikat perunding pengurusan bertaraf dunia).

Ia sudah tentulah satu usul yang bijak kerana Dr. Kenichi Ohmae yang juga dikenali oleh seluruh dunia korporat sebagai Mr. Strategy adalah antara guru strategi perniagaan dan korporat paling terkemuka di dunia. (Beliau juga adalah ahli Panel Penasihat Antarabangsa Koridor Raya Multimedia Malaysia).

Malangnya sementara pentadbiran Dr. Mahathir berusaha menyerapkan budaya pengurusan Jepun ke dalam budaya kerja rakyat Malaysia, satu aspek yang agak telah diabaikan ialah soal ganjaran kepada apa yang kini digembar-gemburkan sebagai modal insan.

Inilah di antara sebab mengapa pekerja di Malaysia tidak mengalami anjakan yang ketara dalam gaji dan pendapatan mereka. Sehingga hari ini pun, setelah Jepun, Singapura dan Korea Selatan telah begitu lama menggubal undang-undang bersabit paras gaji minima, malah 90 peratus daripada negara di dunia ini sudahpun menggubal akta berkaitan gaji minima ini, Malaysia masih lagi ketinggalan.

Walaupun ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, gaji kakitangan kerajaan telah beberapa kali dinaikkan bagi mengimbangi kadar kenaikan harga, tetapi mereka yang berkerja di sektor swasta tidak menikmati pelarasan yang sama. Akibatnya kesusutan matawang, kadar inflasi dan kenaikan harga mengundang masalah serius kepada golongan pekerja.

Bagi menunjukkan kepada rakyat betapa kerajaan telah menggubal dasar-dasar ekonomi dan fiskal yang betul dan bagi menunjukkan kerajaan benar-benar telah berusaha untuk meningkatkan ekonomi rakyat, angka pendapatan per kapita dinyatakan untuk menunjukkan betapa pendapatan rakyat Malaysia sudah meningkat begitu jauh sejak negara mencapai kemerdekaan sehinggalah kini.

Inilah antara angka yang sering diberikan penekanan kepada rakyat. Tapi malangnya kerajaan tidak pernah membincangkan tentang indeks harga barangan pengguna yang kenaikannya bukan sahaja berkadar langsung (directly proportional) kepada pendapatan per kapita, tetapi tidak lagi seimbang dengan peningkatan pendapatan per kapita.

Apakah gunanya kita mendabik dada mengatakan KDNK kita meningkat berlipat ganda, atau pertumbuhan ekonomi kita berkembang pada kadar sekian banyaknya, eksport kita meningkat tetapi kalau dalam sebutan sahih (real term) pendapatan per kapita yang kita gembar-gemburkan kerana kononnya telah meningkat tidak lagi bermakna kepada individu kerana kos untuk hidup melebihi kadar pertambahan pendapatan dengan berlipat ganda.

Oleh itu apabila Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub mempersoalkan tindakan kerajaan yang masih tidak menerima cadangan MTUC untuk mengadakan gaji minima kepada pekerja-pekerja dalam negara, maka itu bukanlah soal politik atau isu yang dipolitikkan, kerana di luar bangunan Parlimen terdapat 8 juta rakyat terdiri daripada golongan pekerja yang benar-benar mengharapkan kerajaan menunjukkan keprihatinan dan belas kasihan kepada mereka.

Apalah lagi yang dapat dilakukan oleh golongan ini untuk mendapatkan pembelaan. Usul diadakan rundingan di antara kesatuan sekerja yang mewakili mereka dengan kerajaan ditolak atau tidak dipertimbangkan. Apabila semua saluran yang ada tidak mampu menarik tumpuan dan keprihatinan kerajaan, maka satu-satunya saluran yang masih ada ialah dengan berpiket.

Piket peringkat kebangsaan kali kedua yang diadakan oleh ahli-ahli MTUC yang mewakili 8 juta pekerja di 12 kawasan di seluruh negara pada awal Ogos lalu bagi menuntuk gaji minima RM900 sebulan dan kola RM300 sebulan membuktikan betapa seriusnya masalah yang dihadapi oleh golongan ini.

Bukan itu sahaja malah ia menunjukkan betapa rendahnya gaji yang diterima oleh sejumlah besar kaum pekerja Malaysia sehingga seolah-olah menggambarkan betapa kita telah mengekploitasikan insan untuk dijadikan modal. Apakah ini sebenarnya yang dimaksudkan oleh Pak Lah mengenai modal insan yang dijadikan sebagai tagline ucapan-ucapannya?

Terdahulu daripada itu, sebagai menghormati semangat bermuzakarah, MTUC telah pun menyerahkan memorandum mengenai perkara ini kepada Perdana Menteri. Malangnya, usaha itu tidak membuahkan hasil.

MTUC amat kecewa dengan sikap kerajaan yang tidak mengendahkan tuntutan dan nasib pekerja-pekerja sektor swasta untuk menikmati kehidupan yang selesa dan terjamin. Memorandum yang dihantar oleh MTUC kepada Perdana Menteri Malaysia juga tidak mendapat maklum balas yang memuaskan malah jawapan dan saranan yang diberikan amat menyedihkan.

Justeru tindakan Pak Lah yang enggan melayani tuntutan golongan pekerja swasta ini mengundang kepada persoalan: Mengapakan Pak Lah mengambik sikap dingin terhadap tuntutan ini? Apakah ada pihak tertentu yang menekan kerajaan agar undang-undang seperti itu tidak boleh digubal kerana ia akan meningkatkan kos buruh dan mengurangkan keuntungan korporat?

Kita tidak tahu jawapan yang sebenarnya. Tetapi nampaknya pentadbiran Pak Lah lebih mengutamakan warga korporat dari warga individu yang sepatutnya perlu mendapat pembelaan. Bajet 2008 misalnya menyaksikan cukai korporat diturunkan dari 28 peratus kepada 27 peratus untuk tahun kewangan 2007 dan kepada 26 peratus pada tahun 2008.

Pak Lah juga begitu perihatin kepada warga korporat apabila kerajaan di bawah pentadbirannya kini seolah-olah begitu ghairah mahu meminda beberapa peruntukan dalam Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Sekiranya pindaan tersebut dilakukan maka ia akan menyukarkan golongan pekerja untuk terus berjuang mendapatkan hak mereka dan menikmati keharmonian perusahaan.

Dalam satu kenyataanya, MTUC juga menganggap, pindaan tersebut jika dilakukan akan menyukarkan dan menghakiskan segala peruntukan-peruntukan yang sedia ada yang boleh memberi jaminan kepada kaum pekerja dan seisi keluarga. Apatah lagi Negara tidak mempunyai perundangan gaji minima RM900. Kenaikan kos hidup ditambah pula dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan tanpa batasan atas nama liberalisasi telah dan akan menjurus kepada pelbagai masalah yang akan merumitkan kehidupan kaum pekerja.

Justeru, apalah gunanya menggegak-gempitakan Islam Hadhari, Bekerja Bersama Saya, The Towering Malaysâ dan pelbagai slogan lagi yang bunyinya cukup gah sekiranya soal paling asas, iaitu membela nasib 8 juta pekerja agar mereka tidak begitu terhimpit untuk meneruskan kehidupan terus menerus diabaikan.

Pada 9 Oktober lalu, HarakahDaily.net menyiarkan berita kira-kira seribu pekerja Maybank berpiket di hadapan Menara Maybank, Kuala Lumpur bagi menuntut bonus, elaun sara hidup dan kenaikan gaji sebanyak 30 peratus.

Menurut Laporan Kewangan terbaru bank tersebut mengisytiharkan keuntungan sebelum cukai Kumpulan bagi tahun 2007 sebanyak RM3.178 bilion berbanding RM2.772 bilion bagi tahun 2006.

Laporan tersebut juga menyebut: Kakitangan kekal sebagai sumber pelaburan bagi Maybank. Bank telah menyediakan lebih RM65 juta dalam tahun kewangan untuk meningkatkan keupayaan modal insan. Kajian Tahunan Kakitangan sebagai satu cara penting untuk memahami harapan para kakitangan dan maklum balas yang diterima akan digunakan untuk merangka pelan perniagaan Kumpulan dan polisi sumber manusia.

Apakah hukumnya di sisi Islam apabila kita menggunakan insan sebagai modal perniagaan tetapi insan yang dipermodalkan itu tidak menerima imbuhan dan ganjaran yang sewajarnya atau seperti yang dijanjikan?

No comments:

Post a Comment